Nikmat Ujian

Seringkali kita mendengar, untuk mendapatkan emas  kita harus menggali ke tempat yang paling dalam. Dalam menggali itu pula belum tentu akan dijumpai dengan begitu sahaja. Kita terpaksa menghadapi dengan seribu kesukaran, keletihan dan segala macam keperitan. Seandainya bernasib baik mungkin akan menjadi rezeki kita. Setelah mendapatkan emas mentah, kita perlu pula mengasingkan pula antara tanah yang kotor dengan emas yang tulen. Sekali lagi ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

Selepas itu pula kita harus meleburkannya pula untuk mendapatkan bentuknya pula. Kita harus membakar dengan api yang panas membakar. Semua proses ini memerlukan ilmu dan segala macam peralatan. Ini semua adalah proses biasa untuk mendapatkan sesuatu yang berharga.

Segala penat lelah pasti berbaloi jika setelah sekian lama berusaha, kita mendapat apa yang kita hajatkan. Sudah tentu bukan mudah, sepanjang proses itu kita akan dihadapkan kegagalan demi kegagalan, keperitan jiwa yang mendera dan berbagai macam perasaan yang bercampur baur. Namun hanya yang percaya dan tidak berhenti mencuba sahaja yang akan memperolehi hasil di penghujungnya.

Pasti akan ada yang mengalah di permulaan,malah dipertengahan. Tidak kurang juga ada yang sudah betul-betul hampir di penghujungnya tetapi mengambil langkah berundur lantaran sukarnya proses ini.

Namun mereka yang mengalah ini bukanlah rugi secara mutlak. Sepanjang proses mendapatkan sesuatu masih ada yang dipelajari dalam hidup. Terpulang atas masing-masing untuk menilainya. Sekurang-kurangnya mereka memulakan langkah yang pertama iaitu memasang impian.

Ya, sudah tentu mereka ini orang-orang yang berani. Kerana bukan  semua orang berani memasang impian. Mereka lebih suka duduk di tempat yang mereka kira selesa tanpa mengambil inisiatif untuk maju ke depan. Padahal apa yang mereka rasa selesa itu satu pembohongan.

Dalam hati mereka terselit perasaan malas, takut, bergantung harap dengan orang lain dan dari situ kita boleh lihat cara hidup mereka. Jika bekerja kita boleh tahu kebergantungan mereka hanya kepada majikan mereka. Bukan pada tuhan sepenuhnya.  Mereka sebenarnya takut untuk memberikan peluang pada diri mereka sendiri.

Bagi saya, mungkin ada antara kita yang takut dengan ujian yang dihadapi jika kita mula mengambil langkah mengubah hidup masing-masing. Saya juga takut, tetapi ketakutan itu jika tidak kita lawan, sampai bila-bila kita tidak akan mendapat apa yang kita mahukan. Semestinya bukan mudah,namun kita harus memberi peluang kepada diri kita. Bukankah sepanjang proses kita melawan ketakutan itu kita akan memperolehi segala ilmu dan pengalaman yang tidak mungkin ada di sekolah dan universiti.

Pengalaman inilah yang membezakan antara orang yang berjaya dengan orang yang biasa-biasa. Kegagalan demi kegagalan membuatkan fikiran kita bertambah matang, kita juga akan semakin bersemangat untuk terus menambahkan ilmu sepanjang perjalanan kita ke puncak. Ujian membentuk karakter dan keperibadian kita yang sebenar. Menjadikan kita tahan diuji, tidak mudah rebah.

Ujian bukan melemahkan tapi menguatkan lagi kita. Bukan mengurangkan tapi menambahkan lagi pengetahuan kita. Setiap halangan membuatkan kita belajar cara untuk menyelesaikan masalah, bukan melarikan diri.

Namun semuanya tidak berguna jika kita memandang setiap ujian itu tidak mengajar kita, melainkan hanyalah sekadar untuk menghalang kita dari apa yang kita inginkan. Ingatlah ujian itu juga merupakan satu nikmat tuhan, tetapi bukan untuk semua orang. Hanya untuk mereka yang tahu akan nilainya sahaja.