Jawapan Tuhan Pada Setiap Doa

Hati kalau gundah gulana, ubatnya mengingati Tuhan. Setiap jasad yang lahir perlukan makanan. Begitu juga hati. Perlukan makanan.

Makanan pula pelbagai, ada yang nampak enak tapi mendatangkan mudarat pada kita. Ada pula yang nampak pahit, tapi itu yang kita perlukan sebenarnya.

Makanan buat hati juga begitu. Saya sebagai orang muda, tubuh masih gagah. Tenaganya segar. Dan bila mana semua dalam keadaan sempurna, biasa terlupa. Lalai & alpa. Selalu lalai dalam mengingati Tuhan. Alpa dalam menunaikan perintahnya. Namun senang pula melakukan tegahannya.

Muda hanya sekali.

Tapi sekali inilah yang menentukan masa tua kita nanti. Saya seperti anak muda yang lain. Sukakan sesuatu hiburan yang menarik. Untuk mengisi jiwa yang kami rasa kosong. Saya harus akui di sini. Saya sentiasa rasa kosong. Meronta-ronta ingin diisi. Bila mencari, risau kalau diisi dengan yang salah.

Doa.

Saya sering berdoa. Agar diberikan petunjuk ke arah mana yang sesuai dengan jiwa saya. Apa yang terbaik untuk saya. Kerana saya sering melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang akibat yang akan mendatang. Ini cara saya  menafsir hidup. Bagi saya hidup bukan sekadar menjadi robot. Bersekolah, melanjutkan pelajaran ke peringkat tertingi. Setinggi yang mungkin. Kemudian bekerja. Berkhawin. Mempunyai keluarga. Kemudian terikat dengan komitmen yang membelengui sepanjang masa.

Bagi saya hidup lebih dari itu. Saya seorang muda. Tenaganya masih gagah. Ketika inilah saya ingin melakukan sesuatu yang memerlukan kudrat saya. Mengembara. Berkongsi cerita & idea. Melakukan sesuatu yang orang lain takut untuk lakukan. Mengejar impian.

Dan harus diakui. Banyak yang saya sudah lakukan. Kebanyakkannya gagal. Tapi saya masih mahu terus mencuba. Sampailah saya rasa letih & sudah tak terdaya nak mencuba lagi.

Saya sering berdoa. Agar setiap kali mencuba, dipermudahkan. Walaupun penat. Kadang, berdoa itu sendiri penat. Penat mengharap.

Tuhan, masih dengarkah doa saya?

Sering kali saya berputus asa. Pada diri & lebih teruk pada Tuhan. Rebel.

Tapi saya sering lupa. Yang Tuhan itu maha adil. Setiap perkara diamati dengan penuh teliti. Dia tahu yang mana terbaik untuk hambanya. Saya sering mahukan result yang cepat. Padahal tahu sifirnya bukan begitu.

Lama saya mencari erti doa. Pengertian dari sudut saya sendiri. Sekurang-kurangnya. Saya sentiasa mengharapkan keajaiban berlaku setiap kali sudah berdoa. Tapi seperti biasa. Nothing. Sehinggalah suatu hari, saya terfikir.

Mengapa saya masih melakukan usaha berterusan untuk mencapai impian saya?

Mengapa saya tidak berhenti sahaja?

Apa yang mendorong saya?

Dari mana saya mendapat idea & kekuatan apa yang harus dilakukan?

Setelah diperhati & diamati dengan mendalam. Saya sedar yang setiap kali saya berdoa, mengadu pada Tuhan. Bukanlah datang terus apa yang saya mahukan. Tetapi rasa tenang dalam diri. Tenang bila mengadu pada Tuhan. Tenang bila meminta pada Tuhan. Sekurang-kurangnya saya melepaskan beban di hati saya bila saya berbicara. Mengeluarkan perkataan. Mengadu. Dan bila “tension” atau beban itu saya lepaskan. Saya beroleh ketenangan. Ketenangan itulah yang memberi ilham. Oh, ini yang aku kena buat. Dan saya terus lakukan. Proses ini berlaku saban hari & berulang kali. Tuhan memberi jawapan pada setiap kali saya berdoa tanpa saya sendiri sedar. Walaupun bukan secara direct.

Orang seperti saya perlukan idea untuk teruskan langkah. Sering kalau idea itu datang dalam keadaan saya memerlukannya.

Saya akan terus mengejar impian saya. Di depan saya ada jalan yang penuh berliku. Saya tahu yang saya berisiko untuk jatuh lagi. Lagi & lagi. Tapi saya yakin & percaya. Sepenuhnya. Yang Tuhan akan sentiasa menjawab doa saya. Terus memberi kekuatan & idea untuk saya terus melangkah.

Saya akan terus berdoa & melangkah. Selagi kaki rasa terdaya, saya akan terus melangkah. Sampailah sudah betul-betul penat, barulah saya akan berhenti. Yang pasti, waktunya bukan sekarang…