Cipta Kebahagiaan Sendiri

Kita tak mampu untuk mengawal semua perkara. Ya, kita tak mampu untuk menutup mulut orang daripada memperkecilkan kita, memerli kita, memandang rendah atas apa yang kita usahakan. Namun kita mampu mengawal tindakan kita. Bagaimana reaksi kita bila berhadapan dengan situasi begitu. Disini kematangan memainkan peranan. Jika kita turut hanyut beremosi membalas kritikan, maka tidak ada beza antara kita dengan mereka.

Namun, bukan bermaksud kita tidak boleh langsung menerima kritikan. Itu salah. Kritikan juga membantu untuk membaiki kekurangan yang ada pada diri kita. Cuma pandai-pandailah menilai yang mana kritikan membina yang mana tidak.

Bila berhadapan dengan mereka yang melemahkan semangat, dua pilihan yang ada.

Pertama.

Membenarkan kata-kata mereka dengan berhenti apa yang kita mahu lakukan. Bukankah ia menyenangkan hati mereka?

Kedua.

Membuktikan yang mereka salah. Pekakkan telinga & terus maju ke depan. Kita tak mampu nak menutup mulut & memuaskan hati semua orang. Sampai bila-bila pun kita tak akan mampu. Jadi mengapa nak serabutkan kepala. Puaskan hati sendiri lebih baik.  Tanamkan dalam kepala otak. Noktah.

Tentukan masa depan kita.

Katakan pada diri sendiri, ini masa depan aku. Jadi aku yang bertanggungjawab menentukannya. Ambil tanggungjawab untuk cuba menjadi yang terbaik pada diri sendiri. Bina kekuatan & dalam masa yang sama kerja keras untuk baiki kelemahan. Jadilah seorang yang merendah diri. Namun yakin dengan kekuatan sendiri.

Keyakinan kita akan datang secara natural bila kita mula mengambil keputusan bertanggungjawab menentukan nasib sendiri. Bukan bergantung pada orang lain. Ingat, kalau kita tak boleh tentukan nasib sendiri, jangan harap orang lain nak corakkan untuk kita. Mereka terlalu sibuk dengan diri mereka sendiri. Hidup kita, tanggungjawab kita.