PAN vs PAS   

Saya bukanlah orang yang layak untuk berbicara tentang hudud. Dan saya juga tak berminat untuk mengulas lebih tentangnya. Cuma topik ini amat menarik untuk dibahaskan terutamanya di kedai kopi. Dibahas oleh politikus jalanan. Sambil menghirup kopi & menghentak meja.

Hudud isu nasional. Sehingga non-muslim juga terikut sama berbicara tentangnya. Cuma penafsiran mereka mungkin berbeza dengan kita sebagai muslim. Kebetulan saya berkawan rapat dengan beberapa orang peguam muda. Kami selalu berkumpul di kedai makan. Selalunya isu politik yang diutarakan. Ada yang setuju & ada yang membangkang. Sambil menghentak tangan di meja. Ini tak betul, itu tak betul. DAMM…Habis air & makanan berterabur..

Satu isu berlainan pandangan.

Saya percaya setiap perkara ada nilai yang boleh kita pelajari. Jika kita boleh belajar sesuatu dari kisah perlumbaan antara arnab & kura-kura,  mengapa tidak kisah perlumbaan antara manusia. Kisah manusia politik. Saya lebih tertarik untuk menulis tentang bagaimana kita untuk melihat sesuatu isu dengan rasional & lebih teliti. Jika kita dapat memahami bagaimana mereka melihat, kita juga akan dapat merasai perasaan & mengetahui mengapa pendapat itu keluar dari mulut mereka. Saya ringkaskan. Contohnya begini.

Jika saya memakai kacamata berwarna hijau, maka penglihatan saya akan melihat semua benda berwarna hijau. Hatta nasi pun mungkin berwarna hijau. Kerana itu indikator yang saya letakkan untuk melihat sesuatu.

Sama juga kalau saya memakai kacamata berwarna oren, orenlah yang saya nampak. Rumput yang semua tahu berwarna hijau saya akan kata warnanya oren. Analogi yang mudah.

Pergolakan dalaman PAS mengakibatkan terpecahnya pengikut menjadi dua kelompok. Dan disitu lahirnya PAN. Tidak memelikkan bagi saya jika masing-masing mempunyai hujah tersendiri mengapa mereka mempertahankan tindakan mereka. Mereka melihat dari sudut yang berbeza. Menggunakan kacamata yang berbeza. Namun hujah masing-masing logik. Ada dalil tersendiri.

Hudud vs Rasuah, Bersatu vs Berkeseorangan.

PAS melihat isu keutamaan Islam itu dilaksanakan di negara ini. Katakanlah sekiranya ia memerlukan kerjasama parti pemerintah sekalipun, ia boleh dipertimbangkan. Walau secara dasar, terlalu banyak yang bercangah antara kedua-dua pihak. Namun bagi PAS, sesuatu kerjasama walau dengan siapa jika itu menjurus kepada terlaksananya agenda Islam ia sudi bekerjasama. Jika tidak semua perkara yang boleh dipersetujui bersama, sebahagian kecil pun sudah memadai. Asalkan jalan menuju Islam. Malahan jika mereka harus & terpaksa berjuang berkeseorangan, mereka sanggup.

Pimpinan PAN melihat dari sudut yang berbeza. Pengalaman berlawan dengan  BN hampir sekian lama menyebabkan mereka meletakkan kepentingan menumpaskan rejim kerajaan adalah satu jihad. Dan untuk mencapai maksud itu, mereka perlukan satu pasukan yang kuat. Ia satu misi yang sukar jika berkeseorangan. Satu kewajiban yang mana rakyat meletakkan sepenuh harapan kepada mereka & ahli gabungan untuk membentuk satu kerajaan yang telus & adil. Mereka melakukan untuk rakyat menikmati hidup yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang. Isu menghapuskan rasuah diangkat sebagai Islam yang sebenar. Isu yang harus diutamakan. Tanpa menafikan Hudud ialah undang-undang Tuhan, namun itu bukan perkara yang terpenting buat masa ini. Ada yang harus didahului berbanding hudud.

Di sebalik kemelut yang berlaku, tidak dinafikan ada pro & kontranya. Dan ditambah parti kawan & lawan masing-masing menunggu serta menggunakan peluang demi kepentingan sendiri. Saya melihat jika kita menilai dengan rasional serta teliti sesuatu isu & apa yang terjadi, kita akan lebih tenang. Namun pendirian kita atau stand kita hanya ditentukan oleh kita sendiri. Walaupun saya suka melihat dari sisi semua parti, saya juga cenderung mendoakan parti pilihan saya menang & dapat melaksanakan agenda parti.

Bukan pula bermakna saya menyokong membabi buta, kerana saya faham, yang politik hanya alat untuk mereka yang merebut kuasa. Apabila mereka mendapat kuasa, belum tentu rakyat akan diutamakan. Saya lebih berpendirian yang saya harus melihat dari semua arah, dalam masa yang sama saya sendiri akan menyiapkan diri saya dengan pelindungan dari segi kewangan & kestabilan. Sekurang-kurangnya, jika mana-mana pihak menang & gagal melaksanakan amanah saya sentiasa mampu menjaga diri & keluarga saya.

Jika kita dapat melihat dari kedua-dua kacamata. Kita akan lebih tenang. Menilai dengan lebih rasional. Akhirnya, terpulang pada kita untuk memutuskan apa pendirian kita. Saya kurang bersetuju jika hanya melihat dari sudut pandang kemudian terus menghentam pihak yang lain. Seolah-olah kita sahaja yang betul. Maksum.

Kesimpulan saya.

Sebenarnya situasi politik negara kita terlalu panjang untuk dibahaskan. Bagi saya sebagai marhaen, saya sebenarnya bertanggungjawab sepenuhnya atas diri & keluarga saya. Seandainya kita mempunyai sebuah kerajaan yang menjaga kebajikan rakyat sekalipun ia tidak bermakna jika saya tidak bertanggungjawab ke atas diri sendiri, hanya mengharapkan kerajaan untuk menjaga saya. Ketika itu, saya pula menjadi beban kepada negara. Satu perkara yang saya tidak mahu terjadi. Oleh itu, walau apa pun terjadi, soal tanggungjawab terletak di bahu kita.

Kita harus sedar yang realitinya mereka terlalu sibuk berkelahi antara satu sama lain. Jika kita terlalu mengharapkan ahli politik untuk mengubah masa depan kita, kita harus berfikir semula. Bukan bermakna kita tidak perlu ambil tahu langung. Itu salah. Negara kita, tanah tumpah darah kita. Sudah pasti kita mahu yang terbaik. Tapi saya lebih suka berpijak di bumi yang nyata. Siapa saya untuk cakap lebih tentang politik. Lebih baik kita fokus memperbaiki diri dari terus menuding jari antara satu sama lain.

Ini sekadar pandangan saya.