Ulas Buku

Dalam kesibukkan mengharungi hari-hari yang ada, saya akhirnya sempat juga akhirnya memiliki & menghabiskan membaca buku ini.

Aku ingin kembara lagi.

Karya Dr. Asri, mufti perlis yang agak kontroversi. Terutamanya pandangan beliau tentang isu-isu agama & politik. Walaupun sering berbeza pandangan dengan sarjana & tokoh lain, tetapi apa yang dibentangkan beliau selalunya berlandaskan hujah ilmu & dalil. Bukan nafsu & emosi semata-mata. Buku ini ditulis selepas isu penahanan beliau atau dakwaan memberi ceramah tanpa tauliah di negeri selangor. Isu yang menjadi bualan hangat negara ketika itu.

Kisah-kisah di dalam buku ini lebih kepada catatan peribadi beliau ketika dijemput menjadi felo kehormat di Oxford Universiti selama 10 bulan. Banyak perkara yang menarik dikongsikan sepanjang pengembaraan ilmu beliau. Saya secara peribadi senang dengan setiap ulasan & buah fikirannya. Baik dari sudut agama mahupun politik semasa tanah air. Idea & penyampaian lebih bersifat mesra orang muda namun matang & padat. Selalu melihat dari kerangka yang lebih luas. Setiap isu diulas dengan ilmu & hujah. Bukan emosi membabi buta.

Meraikan perbezaan pendapat.

Walaupun mungkin kita berbeza pendapat, namun perbezaan itu mencerminkan keluasan & keindahan islam. Mana mungkin semua antara kita mampu berfikir & melakukan perkara yang sama dalam  satu-satu masa. Perbezaan itulah sepatutnya melengkapkan antara satu sama lain. Bukan memisahkan.

Membaca buku ini seolah-olah kita menyusuri pengembaraan limu dari sudut seorang agamawan. Perjalanan menuntut ilmu yang sudah tentu berbeza dengan marhaen biasa. Alangkah rugi jika kita tak mengutip ilmu dari seorang yang sarat pengetahuan & pengalaman. Selesai membaca membuat saya terasa seperti saya juga ingin mengembara. Kembara untuk menuntut ilmu. Buat bekal dunia & akhirat..