Siapa Kawan Kita Menentukan Siapa Diri Kita 

Kenyataan di atas menjelaskan betapa pentingnya proses memilih kawan. Mereka di sekeliling kita biasanya membentuk keperibadian kita. Tingkah laku & sikap kita. Jadi kita harus sedar yang pemilihan kawan adalah perkara yang penting jika kita ingin berjaya. Dalam apa bidang sekalipun. Andai tersalah memilih ia akan menyukarkan kita untuk menacapi impian. Biar sekuat mana pun pendirian kita, pasti akan terkesan juga dengan suasana di sekeliling.

Peringatan dari Rasulullah.

Dalam sebuah hadis Rasululah saw menjelaskan tentang peranan dan kesan seorang teman dalam sabda baginda saw :

“Perbandingan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi .

Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi, atau engkau akan membeli minyak wangi darinya, dan kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau harum darinya.

Sedangkan tukang besi, mungkin (percikan apinya) mengenai pakaianmu, dan kalaupun tidak engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tak enak .”

(HR. Bukhari 5534 dan Muslim 2628)

Ini mesej yang jelas buat kita. Berhati-hati memilih teman. Namun bukan bermakna kita harus mengamalkan double standard. Hanya mahu bergaul dengan golongan tertentu sahaja. Buka itu yang saya maksudkan. Kita boleh sahaja bergaul dengan semua orang. Dengan orang kaya, miskin, berjaya, & gagal sekalipun. Kerana setiap orang mempunyai pengalaman & cerita masing-masing. Setiap daripada mereka kita boleh mengambil pengajaran jika kita pandai menilai. Bahkan dengan haiwan sahaja kita boleh belajar terlalu banyak pengajaran.