Belajar Memaafkan Diri Sendiri

Setiap yang berlaku kadang kala di luar kawalan kita. Walau sebaik mana kita merancang, pasti akan terjadinya kesilapan. Sama ada kita sedia atau tidak, ia pasti berlaku. Menyesali sesuatu yang buruk atau pahit dalam hidup manusia sesuatu yang lumrah. Dan kalau diberi pilihan, kita mahu membaiki kesilapan yang berlalu. Kalau boleh biar semuanya mengikut apa yang kita mahu.

Saya bercakap berdasarkan pengalaman saya. Lahir dalam keluarga yang serba kekurangan & berpecah belah. Saya hampir lali melihat pertengkaran antara kedua ibu bapa saya. Kadang kala membuat saya prejudis dengan Tuhan. Mengapa saya mempunyai keluarga yang sebegini. Persekitaran yang begitu membentuk peribadi saya. Cara saya bercakap & bergaul. Cara saya berfikir & bertindak. Reaksi pada setiap yang berlaku pada saya sentiasa akan dilihat dalam bentuk yang negatif.

Belajar berdikari.

Saya belajar berdikari seawal umur 12 tahun. Berpeluang bersekolah di asrama jauh dengan rumah memberi ruang untuk saya lari dari neraka rumah. Ia memberi ruang saya bernafas. Namun sebenarnya ia juga memburukkan lagi keadaan. Hubungan saya dengan keluarga bertambah jarak. Pembesaran saya berkisar kehidupan di asrama. Rakan-rakan menjadi keluarga saya. Guru-guru menjadi ibu bapa saya.

Bapa saya menghantar saya ke sekolah untuk pendaftaran buat kali pertama. Dan kali kedua dia datang 3 tahun kemudian. Itu yang terakhir. Manakala ibu saya menjenguk saya di asrama setelah 5 tahun saya bersekolah.

Kesempitan hidup membuatkan saya jarang balik ke kampung. Setiap kali saya balik ke kampung, saya tahu saya akan sukar untuk kembali ke asrama kerana tambang balik selalu tak ada.

Ia mendorong saya selalu curi-curi tidur dia asrama tanpa pengetahuan warden. Kerap juga saya menumpang rumah rakan-rakan setiap kali cuti wajib. Ini ihktiar saya untuk meneruskan hidup. Tiga tahun pertama bersekolah, tidak pernah sekali pun saya makan di kantin sekolah pada waktu rehat. Semuanya kerana ketiadaan wang saku.

Pengalaman membuka mata untuk melihat.

Long story short, masa berlalu terlalu cepat. Saya berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti di utara tanah air. Pengalaman berdikari membuatkan saya tidak kisah berjauhan dengan keluarga. Malah saya lebih suka.

Namun, terlalu banyak perkara yang berlaku dalam hidup. Sehari ke sehari saya sedar yang semua ini ujian Tuhan untuk saya. Saya harus akui semua itu pengajaran berguna untuk saya. Pengalaman yang menjadi guru terbaik dalam hidup saya. Saya jarang  rasa gembira kerana  selalu memikirkan malangnya nasib. Dan sering kali mempersalahkan Tuhan atas apa yang berlaku ke atas diri saya.

Namun masa berlalu pergi, semua ini dari sehari ke sehari membuka mata saya. Apabila saya melihat masih ada yang hidupnya lebih teruk dari saya. Lebih daif dari saya. Saya sekurang-kurangnya mempunyai tubuh yang sihat, akal yang waras. Semua pengalaman menjadikan saya lebih matang dari kawan-kawan lebih cepat.

Sebenarnya saya tidak gembira kerana saya sering melihat apa yang saya hadapi sebagai beban. Bukan sebagai ujian. Saya melihat hanya dengan mata. Bukan dengan hati. Saya lupa yang apa yang terjadi sudah tersurat untuk saya. Saya layak menghadapinya. Tuhan timpakan kepada saya kerana mahu mendidik hati saya supaya lebih matang. Lebih banyak berfikir.

Saya sedar saya tidak mampu untuk membetulkan keadaan masa silam saya. Tapi tidak bermakna saya tidak mampu mencorak masa hadapan saya menjadi lebih terang. Bukankah semua pengalaman yang saya miliki membantu saya. Saya harus melihat semua itu dengan kacamata positif. Ya, memang tidak mampu mengubah masa silam, kerana saya sedar semua itu di luar kawalan saya. Saya juga sebenarnya tidak perlu bertanggungjawab apa yang berlaku atas kesilapan ibu atau bapa saya. Kadang kala semua yang berlaku bukan tanggungjawab kita. Tapi saya harus bertanggungjawab atas diri saya. Tanggungjawab saya sebagai ketua keluarga sekiranya saya memliki keluarga sendiri.

Jadi saya tidak ada alasan untuk gagal dalam memliki keluarga impian saya sendiri. Saya sudah mengetahui apa yang menyebabkan sesebuah institusi kekeluargaan itu musnah. Jadi mengapa tidak saya gunakan pengalaman itu sebagai tauladan. Sebagai ingatan buat saya dalam mencorakkan hari-hari yang mendatang buat saya & keluarga saya.

Memaafkan diri sendiri.

Memaafkan kesilapan orang lain bukan sesuatu yang mudah buat saya. Saya dikenali sebagai seorang yang cepat naik angin. Mudah marah. Tapi masa berlalu, saya banyak belajar untuk mengawal semua itu. Dan saya sedar jika untuk memaafkan orang lain sukar, mengapa tidak saya maafkan diri saya dahulu. Saya terlalu memikirkan orang lain berbanding diri sendiri selama ini.

Saya ingin orang di sekeliling saya hidup bahagia & gembira. Lantaran kisah masa silam saya, saya begitu dahagakan kebahagiaan. Begitu ingin melihat keluarga saya gembira, tapi jika saya sendiri tidak gembira bagaimana saya ingin mengembirakan orang di sekeliling saya.

Masih banyak impian.

Masih banyak yang saya ingin pelajari dalam hidup ini. Masih banyak impian yang tidak saya capai. Dan saya berusaha keras ke arah itu. Namun jika saya tidak enjoy & menikmati sepanjang perjalanan itu, ia pasti satu perjalanan yang sukar. Doa saya supaya walau apa pun yang terjadi, Tuhan beri saya kekuatan untuk mengharunginya. Kerana saya penuh yakin & percaya. Saya adalah insan yang “special” kerana dipilih Tuhan untuk menghadapi semua ini. Bukan orang lain. Pasti ada sesuatu yang  direncanakan Tuhan untuk saya.

Semoga apa yang saya lalui memberi saya kekuatan buat diri saya. Jika selama ini saya boleh mengharunginya, mengapa tidak sekarang.  Dan jika orang lain boleh mengapa tidak saya..