Terima realiti sekarang

Dalam hidup ini, ada perkara di dalam kawalan & diluar kemahuan kita. Sama ada suka ataupun tidak keadaan sekarang, kita harus terima seadanya. Soal apa yang kita kecapi sekarang, itu sudah pun berlaku. Kita tidak mampu mengubahnya. Tapi percayalah, jika kita kecewa atau kurang berpuas hati dengan pencapaian sekarang, kita masih ada ruang yang terbuka luas dihadapan untuk mencorakkan masa depan yang kita hajati.

Cerita Doktor Is

Saya teringat cerita tentang seorang teman karib saya. Doktor Is. Kami berkawan sejak sekolah menengah lagi, satu kelas & tinggal di asrama. Sama seperti kawan-kawan anda yang lain, kami bersaing antara satu sama lain dalam banyak aspek. Terutamanya pelajaran. Tak dinafikan yang Dr. Is seorang yang pandai, tapi ada sesetengah subjek saya lebih pandai daripadanya. Kami sering berebut tempat dalam peperiksaan. Dr Is seorang yang sangat pandai melukis. Lukisannya hidup. Sedangkan saya buta seni. Tangan keras & kaku.

Walaupun latar belakang berbeza, saya seorang yang sering tak ada duit, tak pernah makan di kantin sekolah. Hanya bawa bekal setiap hari dari sarapan pagi yang disediakan oleh pihak asrama. Keluarga Dr. Is agak sederhana. Tidak berada tapi agak berkemampuan. Tapi banyak persamaan antara kami. Namun begitu, kami sering bergaduh dalam pelbagai isu. Kadang kala, dia menulis surat berjela-jela, menulis & mengkritk saya. Sehingga ini, surat itu masih saya simpan. Begitu juga dengan lukisan-lukisannya. Masih saya simpan sebagai kenang-kenangan.

Kami mempunyai minat & cita-cita yang hampir sama. Menjadi arkitek. Bila masuk tingkatan 4, Dr Is masuk ke SBP atas keputusan cemerlang dalam PMR. Walaupun result kami sama untuk semua subjek kecuali Bahasa Inggeris. Saya ‘C’ & Dr Is “B’. Yang lain semuanya ‘A’.

Saya kekal dengan cita-cita saya ingin menjadi arkitek. Tapi berlainan dengan Dr Is. Dia ambil subjek Sains. Atas desakan keluarga. Dia berbelah bagi, sama ada ingin menjadi arkitek, cita-citanya, atau doktor, impian & hasrat ibunya. Saya selalu mendengar keluhan dar Dr Is. Yang dia tak suka aliran tersebut. Tapi memandangkan hasrat keluarga, ia hormat & patuh. Namun ia bukan masalah buat Dr Is kerana ia seorang pelajar pintar.

2009, tamat SPM. Saya ke utara tanah air menyambung dalam jurusan kejuruteraan manakala Dr Is ke UM. Sebagai pelajar perubatan di sana. Kami sering berhubung antara satu sama lain. Bercakap dalam telefon berjam-jam lamanya. Walaupun 6 bulan sekali, tapi setiap perbualan kami panjang-panjang & berat-berat belaka. Cerita tentang cita-cita & halangan sebagai student.

Dr Is sering mengeluh yang subjek dalam jurusan perubatan payah. Ramai yang gagal dalam peperiksaan. Pointer cukup-cukup makan. Stress. Setiap kali perbualan, saya boleh rasai tekanannya dari segi nada suara & intonasinya. Kadang Dr Is mengeluh macam budak kecil. Dia masih lagi kuat cita-citanya untuk menjadi seorang arkitek. Tapi dalam masa sama, ibu & keluarga meletakkan harapan kepadanya. Walaupun diberi kelonggaran dalam memilih sendiri cita-citanya sendiri, tapi dia faham ‘hint’ yang keluarga mahu dia menjadi doktor. Berlainan dengan saya, degil & keras kepala. Jika keluarga mahukan ‘A’, saya lakukan ‘B’.

Masa berlalu pantas, masing-masing habis pengajian, saya bekerja di sebuah syarikat Jepun manakala Dr Is ditugaskan ke Queen Elizaberth Hospital, Kota Kinabalu. Walaupun jarang berhubung, tapi sekali sekala kami masih berinteraksi antara satu sama lain. Saya perasan yang Dr Is makin selesa menjadi seorang doktor. Walaupun awalnya, dia tak suka & dalam tekanan. Antara cita-cita & harapan keluarga, dia sedar semua itu sudah berlalu. Sekarang tanggungjawabnya sebagai doktor, amanah yang berat. Dia selalu menceritakan kisah-kisah hospital pada saya.

Satu persamaan ketara antara kami, kami masing-masing ada impian besar. Saya mahu menjadi penulis, ada perniagaan & menubuhkan yayasan saya sendiri, ada dana untuk membantu mereka yang senasib dengan saya. Miskin & dari keluarga tak berkemampuan. Seperti yayasan Bukhary yang dimilik Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari.

Dr Is, mahu jadi doktor pakar. Mahu menyumbang khidmat pada masyarakat. Saya lupa dalam bidang apa, kerana istilah perubatan ini asing & pelik bagi saya. Semakin lama, saya perasan yang minat ke arah bidang perubatan membuatkan Dr Is kurang bercerita tentang cita-cita lamanya. Seakan-akan dia gembira dengan profesionnya sekarang.

Tak lama selepas itu, saya dapat tahu dari kawan-kawan yang Dr Is dimasukkan dalam wad. Akan menjalani pembedahan. Suspek jangkitan kuman. Disyaki berjangkit dengan pesakitnya semasa sesi rawatan, Seingat saya, umur kami dalam 27 tahun. Dr Is memulakan tugas sebagai doktor pelatih di sana. Kota Kinabalu.

Saya terkejut, cuba menghubungi Dr Is, tapi tak dapat. Sehari sebelum itu, Dr Is seperti biasa, post di wall facebook cerita-cerita biasa, sekitar cerita harian seorang doktor & orang muda. Saya menganggap mungkin pembedahan biasa, mungkin tak ada apa-apa. Tapi sebaliknya berlaku, Dr Is disahkan meninggal dunia. Pembedahan gagal menyelamatkan nyawanya.

Saya terdiam mendengar cerita itu. Kaku & seolah-olah tak percaya. Rakan karib saya sudah tak ada lagi di dunia ini. Tapi itulah hakikatnya, kita merancang, Tuhan juga merancang. Sebaik-baik perancangan sudah pasti perancangan Yang Maha Esa. Lama saya boleh menerima hakikat ini. Terlalu banyak kenangan antara kami. Terutama cerita impian masing-masing.

Jangan berhenti berlari selagi bernafas

Saya masih bergelut mengejar impian, selepas gagal berkali-kali. Tapi setiap kali saya teringat Dr Is, saya sedar yang saya tak boleh berputus asa. Saya masa ada kesempatan untuk mencorakkan masa depan saya. Kejar impian & cita-cita saya.

Sama juga dengan anda. Sepanjang masa, kita kadang-kala sering merungut tentang pilihan yang ada sekarang. Terhad & terbatas. Hingga kita sering hilang pertimbangan rasional, lupa mensyukuri nikmat Tuhan yang paling besar. Iaitu kita masih bernafas.

Gunakan kesempatan hari ini

Berapa ramai kenalan kita, sudah pergi meninggalkan kita. Tanpa sempat mencapai impian mereka. Sedangkan kita sekarang masih berpura-pura selesa. Merungut itu tak kena, ini tak kena. Tapi ‘selesa’ dengan tidak mahu berubah.

Yang berlalu itu di luar kawalan kita, ia menjadi sejarah. Tapi masa depan itulah yang paling penting.

Sekarang, walau apa pun keadaan kita, jangan cepat mengalah. Teruskan berjuang. Kita masih diberi kesempatan oleh Tuhan. Sedangkan ramai yang hajatnya tak sampai.

Saya belajar banyak dari Dr Is. Pengajaran demi pengajaran. Semoga arwah tenang & ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Satu perkara yang saya perhatikan, Dr Is sering bertanya soalan yang betul ketika mengubah minatnya daripada seni bina ke bidang perubatan dengan bertanya saya bagaimana nak buat. Apa boleh saya bantu dari segi nasihat. Bukannya terus menerus menyalahkan takdir & berulang kali menyesal serta mengeluh. Dr Is bertanya soalan yang betul.

Setiap kali saya gagal sebelum ini, saya sering mengungkit & merasakan yang Tuhan tidak adil bagi saya. Saya sering bertanya soalan yang salah. Sehingga jika diingat kembali, boleh lari akidah. Mempersoalkan Tuhan.

Belajar bertanya soalan yang betul

Sekarang, jika kita rasa down atau tekanan, cuba ubah soalan kita. Dari bertanya kenapa saya, ubah menjadi kenapa tidak saya. Katakan kita putus cinta, jangan ucapkan soalan kenapa dia tinggalkan aku, sebaliknya ubah soalan lain.

Contoh.

“So what, sekarang apa aku nak buat untuk mula hidup baru?”

Soalan yang betul akan memberi fokus yang betul. Nampak mudah, tapi ramai yang tak sedar & tak tahu macam mana nak bangkit dari kegagalan. Kalau tak percaya, lepas ini, setiap kali kita gagal, walaupun perkara kecil, cuba bertanya soalan yang betul.

Percayalah, soalan yang betul, akan mendorong kita berfikir cara yang betul untuk menyelesaikan masalah kita. Secara natural, kita akan melihat begitu banyak jalan rupanya yang boleh kita pilih.

Walaupun apa yang berlaku sebelum ini, jika kita belajar bertanya soalan yang betul, tidak timbul isu untuk kita menyalahkan takdir. Ingat, yang berlalu sudah menjadi sejarah. Yang penting bagaimana kita menjalani kehidupan hari ini. Jadi, belajar bertanya pada diri sendiri. Tanya soalan yang betul..