Berhenti merungut

Terlalu ramai antara kita kuat ‘complain’. Kita merungut tentang itu tak kena, ini tak kena. Sedangkan dalam masa yang sama, kita lupa yang ramai orang berjaya lebih banyak bekerja dari merungut. Lebih menyedihkan kita merungut tentang perkara yang berada di luar kawalan kita. Tentang harga minyak naik, barang naik & segala-galanya naik.

Ya betul, itu bukanlah sesuatu yang baik, tetapi dalam masa yang sama kita masih perhatikan berapa ramai yang ‘complain’ itu, di mulutnya masih terpacak sebatang rokok. Berasap & terus berasap. Selepas habis sebatang, dicucuhnya yang lain. Sambil mulut terus mengomel.

Tak salah merungut, tetapi jangan jadikan ia suatu amalan. Peliknya, kita merungut tetapi tak ambil inisiatif untuk memajukan diri. Kita kekal dengan gaya hidup kita sekarang. Dalam zon selesa yang tak berapa selesa.

Kita tidak mahu meluangkan masa untuk menambah ilmu. Kita fokus tentang hal-hal yang di luar kawalan kita. Siapa kita untuk menurunkan harga minyak. Tetapi cuba fikirkan sejenak, bukankah kita berkemampuan untuk meningkatkan taraf kehidupan kita.

Fokus pada kekuatan, bukan kelemahan

Manusia dikurniakan akal & fikiran. Siapa yang menggunakannya sebaik mungkin, akan mendapat apa yang sepatutnya. Itu semua orang tahu. Tapi berapa ramai yang berasa ‘selesa’ & memilih untuk tidak berubah. Statik di tempat yang sama bertahun lamanya.

Orang ini bukannya tidak ada kekuatan tersendiri, tetapi tidak berusaha untuk mencari apa kekuatan mereka sebenarnya. Betapa sayangnya, akal yang diberi Tuhan tidak dimanfaatkan sebaik mungkin. Yang hanya mereka pandai, ‘complain’.

Jangan buang masa

Jangan menghabiskan terlalu banyak masa untuk ‘complain’. Mula lakukan sesuatu jika kita merasakan yang hidup kita sekarang tak memuaskan. Berleter sahaja tak mampu menyelesaikan masalah. Buat kerja. Cari jalan untuk jana pendapatan.

Kita meluangkan terlalu banyak masa untuk sesuatu yang bukan dalam kawalan kita. Sehingga bila melihat orang yang ada lebih daripada kita, kita cemburu. Kita beri pelbagai alasan.

Si fulan itu bolehlah, ada kabel!

Ala, dia anak orang kaya, bolehlah!

Tapi kita tak buat apa-apa pun untuk ke arah itu. Sedihnya. Sebenarnya jika kita berhenti merungut & mula fokus dengan apa yang kita ada, belajar bersyukur, kita akan menjadi orang yang paling bahagia di dunia ini.

Merungut bukan penyelesaiannya. Jika kita mahukan lebih dalam hidup kita, tutup mulut & usahakan sesuatu. Kita tidak akan peduli berapa harga minyak naik atau turun, kerana kita yang mengawal kehidupan kita.

Kita dalam zon kawalan kita sendiri. Berapa ramai yang setiap hari merungut tetapi malas ubah cara dia melakukan rutin setiap hari. Sedangkan dia tahu, rutin itu hanya membuatkan dia tersangkut di takuk itu buat sekian lama.

Terlalu banyak cara untuk menang

Ada sesetangah orang memang dilahirkan dengan kelebihan yang Tuhan bagi. Lebih dari orang lain. Gifted. Tetapi itu tak bermakna ia tidak perlu berusaha.

Pele contohnya, semua orang tahu tentang bakat semulajadinya. Tetapi dalam masa yang sama dia meluangkan masa yang lama untuk mengasah lagi ‘skill’ & ketajamannya. Dia tidak sekadar bergantung pada bakatnya semata-mata. Jika Pele tidak menjalani latihan yang konsisten & bekerja keras, bakatnya itu hanya sia-sia.

Sama juga dengan orang lain, walaupun kita mungkin dilahirkan dalam serba kekurangan. Bukan bermaksud kita akan mati dalam keadaan miskin & tak berjaya. Itu bukan persoalannya. Sama ada kita ada kelebihan semulajadi ataupun tidak, kerja keras tetap menjadi asbab untuk kita mencapai sesuatu kejayaan.

Ramai menganggap Tiger Wood adalah seorang pemain golf dengan bakat semulajadi. Tetapi jika kita membaca sejarah beliau, Tiger Wood dilatih oleh bapanya secara konsisten sejak dari kecil lagi. Ia menjalani rutin latihan ketat yang konsisten sehinggalah ia  berjaya menempa nama. Ia tidak datang secara tiba-tiba.

Cari kekuatan & jadi pemenang

Ini bermakna, sama ada apa jua keadaan kita sekarang, kita tetap mempunyai peluang yang sama. Siapa yang berani mengambil kesempatan & menggunakan peluang yang ada, dialah pemenang. Dalam hidup yang serba mencabar, hanya pemenang yang mampu terus hidup. Itu sudah sifirnya alam ini.

Orang yang berusaha akan mendapat apa yang dihajatinya. Terpulang pada kita, untuk terus merungut atau bertindak sekarang. Terlalu banyak cara untuk menang. Dan kita dianungerahkan kekuatan masing-masing. Jadi tugas kita sekarang, cari kekuatan itu. Guna & asah sebaik mungkin. Gunakan kekuatan itu untuk menang. Yang pasti, merungut bukan caranya untuk menang.

Belajar berhenti merungut.