Tersebutlah Kisah..

Di hujung sebuah kampung, ada sebuah perigi buta. Perigi yang dulunya menjadi nadi penting buat Kampung Pasir Dua Butir. Ia sumber utama penduduk kampung mendapatkan bekalan air. Iklim kampung yang panas sepanjang tahun. Sangat besar jasa perigi itu pada penduduk kampung. Ia berkhidmat penuh taat buat sekelian penduduk, di situlah tempat ibu-ibu mengambil air untuk menanak nasi, disitu juga tempat anak-anak dara berkumpul untuk mandi & disitulah tempat permainan kanak-kanak kecil.

Tapi kini khidmat perigi tak diperlukan lagi. Sejak inisiatif JKKK yang prihatin, perigi diganti dengan paip air. Setiap rumah sudah ada tangki. Tinggallah perigi hanya sebagai barang kenang-kenangan. Adat manusia, habis madu sepah dibuang. Aduhai perigi..

Katak & Perigi..

Kini, perigi tak lagi terurus. Semak naik tinggi & galak. Hingga tempat yang dulu bersih, menjadi sangat menjelikkan mata. Orang takut ke situ lagi, lebih-lebih kanak-kanak. Kata ibu-ibu mereka, jangan main  disitu, nanti disorok hantu.

Katak bermaharajalela, ia menjadi rumah sang katak. Di dalam perigi yang makin tohor & mengering airnya, ia menjadi tempat bertelurnya katak-katak baru. Berudu penuh dalam lopak air yang bertakung yang isinya makin sedikit. Dipendekkan cerita, lahirlah katak-katak generasi baru di dalamnya. Berpuluh ekor berkongsi tempat yang semakin sempit.

Kemarau Melanda..

Takdir Tuhan, kemarau menjelang. Belum sempat anak-anak katak keluar dari perigi, air sudah semakin kering. Terperangkaplah berpuluh-puluh anak katak di dalamnya. Sedang sumber makanan semakin sedikit. Kulit semakin kering. Tempat permainan menjadi tak seindah dulu. Hanya satu cara untuk meneruskan hidup. Keluar dari perigi kering itu.

Tapi, sayangnya. Tebing terlalu tinggi, tak tercapai dengan kudrat katak-katak di bawah. Tambahan, puluhan anak katak belum matang, belum kuat kaki untuk melompat. Aduhai kesian..

Hari ke hari, bila perigi semakin menyeksakan, si katak masing-masing mencuba keluar. Ada yang cuba melompat, ada yang cuba memanjat. Tapi tak banyak yang berjaya. Pelbagai gaya & cara. Masing-masing berusaha sekuat hati. Kalau tak keluar, matilah jawapannya. Dan si katak-katak memang tak mahu mati. Nanti dicela kaum katak, yang si fulan itu matinya adalah ‘mati katak’. Sayang tak ada keturunan. Aduhai kesian..

Si Katak Positif

Masing-masing mencuba. Banyak yang berjaya, tak kurang juga yang gagal. Memanjat tembok perigi yang kasar & tegak. Ia bukan kerja yang mudah. Hanya yang benar-benar kuat sahaja mampu melepasinya. Dan yang berjaya keluar, boleh terus hidup mencari habitat baru. Rumah baru & sumber makanan yang baru. Dalam banyak-banyak katak yang tertinggal dalam perigi, ada yang mengeluh.

“Aduh, matilah kita”

Katak yang lain menjawab.

“Kenapalah malangnya nasib kita, Tuhan memang tak adil”

Namun, masih ada yang mencuba, walau jatuh & jatuh berulang kali. Ia yakin yang ia mampu, cuma belum berjaya lagi. Baginya, ini hidup & matinya. Kalau ia tak ambil keputusan sekarang, hilanglah ia di muka bumi ini. Sedangkan cerita tentang indahnya dunia luar sana yang didengarnya dari ‘Si Katak Besar’ sangat diimpikannya. Ia mahu keluar, walau apa cara sekalipun.

“Jom kawan-kawan, kita lakukan lagi, jangan putus asa”.

Laungnya kepada katak-katak yang lain. Namun yang lain memandang sambil menggeleng kepala.

“Jangan, tebing itu tinggi, nanti jatuh sakit, Lebih baik tunggu sahaja hari hujan, nanti kita boleh keluar dengan mudah”

Sahut yang lain.

“Ya, betul itu, Tuhan mesti kasihankan kita, lagipun kita tak buat apa-apa dosa, kenapa Tuhan ingin menzalimi kita?”.

Si katak yang tadi marah. Ia sangat tak suka alasan itu. Ia seolah-olah mengharapkan takdir Tuhan menyebelahi mereka, sedang masing-masing diam tanpa mahu berusaha. Ia jawapan penunggang agama baginya. Jawapan ‘si pemalas’ yang hanya menyerah pada takdir. Munafik..

Akhirnya, ia bersendirian memanjat. Jatuh. Dan dipanjatnya lagi, jatuh. Setelah penat, ia berehat, tapi semakin lama mencuba, semakin tinggi & dekat ia dengan tebing perigi. Setiap kali ia jatuh, ia tahu mana tempat yang mahu di paut. Pengalaman mengajarnya yang usaha tangga kejayaan. Jangan sesekali berputus asa.

Si Katak Kecil

Setelah penat mencuba, ia berehat. Sedang ia melepaskan lelah, tiba-tiba ada seekor katak yang kecil. Melompat & memanjat ke tempat yang sama. Mencuba laluan yang sama, tetapi sangat cekap. Dipertengahan dinding perigi, ia menoleh ke bawah. Dilihatnya katak di bawah masing-masing bersorak.

“Jangan, nanti jatuh. Bahaya.”

Yang lain turut bersorak.

“Tunggu sahaja hujan turun, jangan buat kerja bodoh. Dinding itu kan tinggi. Mustahil kita dapat sampai ke atas”

“Ya, kamu badan kecil, mana boleh! Lihat berapa banyak yang gagal, kamu tentu gagal juga”

Semakin jauh & tinggi Si Katak Kecil itu memanjat, semakin riuh sorakan katak-katak di bawah. Dan Si Katak Kecil semakin bersemangat. Melihat orang bersorak kepadanya. Tinggal sedikit sahaja lagi jarak antaranya dengan tebing perigi. Ia semakin bersemangat setiap kali melihat kawan-kawannya bersorak kepadanya. Akhirnya, setelah sekian lama. Ia selamat sampai. Rupanya diatas sana, banyak katak dewasa melihat anak-anak katak di bawah. Terkial-kial mahu keluar. Tapi yang di atas sekadar dapat melihat, tak ada daya mahu menolong. Silap hari bulan, kalau turun, mereka pula yang tak naik-naik.

Si Katak Positif memandang dengan teliti, gaya & cara yang digunakan Si Katak Kecil panjat. Lalu setelah mengumpul tenaga, ia cuba sekali lagi. Dengan sekali cuba sahaja, ia berjaya naik ke atas. Seperti biasa, yang di bawah bersorak dengan nada yang negatif.

Katak-Katak Yang Malang..

Akhirnya katak-katak di bawah tercengang. Memandang sesama sendiri. Bagaimana Si Katak Positif boleh berjaya. Bukan main tinggi lagi dinding. Sambil meneguk air liur, mereka berpandangan sesama sendiri sekali lagi. Sambil masih menunggu hujan yang tak kunjung tiba.

Si Katak Positif lega. Akhirnya usahanya berbaloi. Impiannya tercapai. Setelah  itu ia memandang ke bawah sambil tersenyum, lalu ia pergi menemui Si Katak Kecil. Dan ia bertanya.

“Wahai kawan, bagaimana kamu boleh secekap itu memanjat dinding yang kasar & tegak itu?”

Lalu Si Katak Kecil menjawab.

“Apa?”

Tanya Si Katak Positif lagi.

“Wahai kawan, bagaimana kamu boleh secekap itu memanjat dinding yang kasar & tegak itu?”

Jawab Si Katak Kecil.

“Oh, Aku lihat cara kamu memanjat berulang kali, tapi gagal. Dan setiap kali kamu jatuh, aku lihat kesilapan yang kamu lakukan, lalu bila aku memanjatnya, aku cuba elak lakukkan kesalahan yang sama”

Si Katak Positif tersenyum lalu bertanya lagi.

“Bagaimana kamu boleh buat ‘selamber’ sahaja bila kawan-kawan di bawah bersorak & menjerit pada kamu dengan semuanya kata-kata negatif. Kamu memang katak yang berpendirian teguh”

Si Katak Kecil tercengang lalu mengaru kepala yang tak gatal.

“Oh, aku sangka mereka bersorak memberi semangat, sebab itu setiap kali mereka bersorak, aku semakin bersemangat. Aku tak mahu hampakan mereka. Lagi satu, sebenarnya telingaku pekak, aku tak dengar dengan jelas perkataan mereka sebenarnya”

Ia tersenyum & berlalu pergi. Sambil menyanyi lagu riang. Seolah-olah tak ada apa yang berlaku.

Si Katak Positif tercengang. Terlopong mulut mendengar jawapan itu. Tapi ia sedar akhirnya, jika ia pekakkan telinga dari semua kata-kata negatif kawan-kawannya di bawah, tentu ia lebih cepat sampai ke atas. Tapi semua sudah terjadi, hari itu ia belajar sesuatu yang sangat berharga.

Untuk maju & berjaya dalam hidup, kadang-kala kita harus pekakkan telinga & yakin dengan kemampuan diri. Melayan semua kata-kata negatif langsung tak membantu. Malah merugikan diri sendiri.

Akhirnya, Si Katak Positif melompat sambil tersenyum puas,  berlari untuk memulakan hidup baru. Pengalaman yang dipelajarinya akan diingatinya sampai bila-bila.

Ia pun melangkah pergi meninggalkan perigi buta. Sambil menyanyikan lagu riang. Dengan suara yang sangat bersemangat. Dengan suara kataknya..

Katak pic

Nasib Katak Yang Lain

Hujan tak kunjung tiba. Kemarau semakin panjang. Akhirnya katak-katak di bawah mati dibakar panas mentari. Sambil menunggu Tuhan menolong mereka, padahal mereka sendiri malas & terlalu banyak beralasan untuk berusaha.

Begitulah kisah katak di Kampung Pasir Dua Butir. Walaupun cerita katak, tapi ada nilai yang besar disebaliknya. Itupun jika ada yang ambil pengajaran. Sedangkan pengajaran itu ada di mana-mana, di merata-rata. Maklumlah, tak semua yang mahu belajar. Walaupun dari cerita Si Katak Pekak.

p/s:  Belajarlah walau dari cerita donggeng.