Cerita Sahabat Saya..

Baru-baru ini saya berpeluang berkumpul & makan bersama dengan kawan-kawan. Sambil berborak kosong. Dalam perbualan antara kami, salah seorang kawan saya mengatakan dia ingin berhenti kerja. Kerana ingin memulakan perniagaan. Sama seperti saya. Saya bertanya kenapa dia ingin berhenti kerja. Jawapan yang diberikan ialah kerana ingin mengumpul duit. Usia sudah masuk 33 tahun, tapi tidak ada simpanan.

Saya kongsi dengannya tip & sedikit nasihat, apa yang perlu dilakukan jika betul-betul mahu berhenti kerja & memulakan perniagaan sendiri. Do & Dont’s. Berdasarkan sedikit sebanyak pengalaman saya. Ia merisaukan saya kerana saya kenal karakter kawan saya yang seorang ini.

Nasihat saya

Apa yang saya kongsikan adalah perkara normal yang biasanya usahawan lakukan. Walaupun ia nampak remeh, namun perkara itu sangat penting. Ia adalah peralatan perang jika kita mahu berjuang dalam dunia perniagaan. Saya sangat galakkan sahabat saya untuk berniaga. Tetapi jika dengan mentaliti yang salah, saya fikir lebih baik jangan. Lebih baik kekal makan gaji. Belajar bagaimana jana ‘income’ secara ‘part time’ dahulu. Jika sudah dapat rentak, baru serius buat secara ‘full time’.

Mentaliti yang salah

1. Tak nak cari ilmu

Saya percaya yang kejayaan seseorang itu bergantung kepada sejauh mana ilmu yang dia ada. Sangat berbahaya jika melakukan sesuatu tanpa ilmu. Terutamanya untuk memulakan perniagaan. Saya bercerita dengannya secara berlapik cara saya. Dan saya rasa bukan saya seorang sahaja, malah ia wajib sebenarnya bagi setiap usahawan. Iaitu menuntut ilmu.

Saya cadangkan pergi seminar atau kelas perniagaan. Cari yang percuma dahulu. Paling mudah, mula membaca, banyak bertanya. Cari mereka yang sudah ‘proven success’. Tiru apa yang mereka lakukan & olah mengikut kesesuaian kita. Melalui pembacaan kita & pengalaman kawan-kawan yang sudah berjaya melakukan sesuatu, ia sangat membantu. Ia akan menjadi ‘guide line’ atau pengajaran serta memberi idea untuk kita. Bagaimana langkah atau ‘step’ yang perlu kita lakukan. Apa perkara yang perlu kita elakkan. Di situ sahaja kita dapat menjimatkan banyak masa kita. Tak perlu ulang perkara yang merugikan kerana sudah ada contoh di depan mata.

2. Nak cepat untung

Bekerja makan gaji tak sama dengan berniaga. Terutama jika kita baru nak mulakan sesuatu. Betul kita mahu untung, sebab itu kita nak mulakan perniagaan. Tapi bagaimana kalau rugi?

Adakah kita bersedia?

Sebab itu saya beri cadangan kepada sahabat saya, supaya belajar buat secara ‘part time’ dahulu. ‘At least’ kita belajar perlahan-lahan. Jangan terlalu tergopoh gapah.

3.Tak nak dengar nasihat orang

Ini yang berbahaya. Kita rasa yang berniaga ini sama seperti makan gaji. Betul kita kena yakin dengan diri sendiri, tapi jangan sampai memakan diri. Nasihat dari mereka yang ‘proven success ini sangat berharga. Ia ibarat kunci kepada peti emas yang kita cari selama ini.Kerana nasihat itu berupa pengalaman jatuh bangun seseorang usahawan.

Ia melalui jerih payah, untung & rugi. Dan yang paling penting masa. Ia menjimatkan masa kita. Kita tak perlu melakukan sendiri. Tak perlu ‘try & error’. Dengan nasihat dari mereka yang dah berjaya lakukan itulah sebenarnya ‘blue print’ atau perkara yang patut kita lakukan. Just copy & adjust.

4. Boros 

Saya lihat ini masalah besar sahabat saya. Boros. Usahawan kena berjimat cermat. Terutama ketika fasa awal perniagaan. Semua duit tak boleh dibelanjakan ikut suka hati sahaja. Kerana kita tak tahu lagi untung kita. Kalau untung tak apa, kalau rugi?

Duit yang kita ada harus digunakan untuk perbelanjaan syarikat. Bukan membabi buta beli untuk kegunaan peribadi. Jangan sesekali beli benda yang mengarut. Jangan nak jadi ‘hipster’ sangat. Dah berjaya & ada duit  nanti, nak beli apapun, belilah. Awal-awal ini, kena belajar tahan nafsu dulu.

5. Mentaliti yang salah

Dalam banyak-banyak aspek, bagi saya ini paling penting. kena tukar mentaliti dahulu. Jangan guna mentaliti pekerja. Masalah sahabat saya ini, dia suka lepak. Sama seperti masa dia makan gaji. Sedangkan lepak tanpa ada arah tuju sangat membuang masa. Lebih baik masa yang ada itu digunakan untuk menuntut ilmu. Baca buku contohnya, atau ‘attend’ mana-mana seminar.

Satu lagi, dia terlalu mementingkan perkara yang kecil-kecil. Contohnya, penampilan diri berbanding menambah ilmu. jangan membazir duit beli jam tangan atau handphone baru semata-mata mahukan imej seorang peniaga.

Ya, imej itu penting. Tetapi ia bukan perkara kritikal untuk permulaan. Pakai sahaja apa yang ada dahulu. ‘Cut cost’ seboleh mungkin. ‘Invest’ pada ‘marketing’ atau ‘knowledge’. Kita baru nak mula berjalan, ukur baju di badan sendiri.

Dalam kepala saya..

Jika kita tak ‘ready’ secara mental, secara automatik fizikal kita juga tidak bersedia. Kita akan melalui kegagalan. Bukan mahu menakutkan sesiapa, tetapi risiko gagal hampir 90% berbanding peluang untuk kita terus berjaya. Kita harus terima hakikat.

Saya dapat agak, apa yang akan berlaku pada sahabat saya. Kerana saya sudah lalui fasa itu lama dulu. Dan saya percaya dia juga akan melalui perkara yang sama. Dengan mentaliti yang salah, peratusan gagal itu sangat tinggi.

Harapan saya.

Apa-apapun, niat itu saya sokong 100%. Saya suka seseorang itu melakukan sesuatu berbanding cakap sahaja lebih. Tapi tindakan tak ada. Lebih baik gagal dari tak cuba langsung. Kerana kegagalan itulah yang akan mengajar kita. Ia membantu kita lebih matang. Ia proses wajib untuk kita maju ke depan lebih cepat berbanding orang lain.

Buat sahabat saya, selamat maju jaya. Hati kena kental. Baru boleh berjaya..