Nak Kongsi Cerita.

Hari ini saya nak berkongsi 1 cerita yang baru saya dengar. Cerita tentang nilai hidup kita. Ya, nilai hidup kita. Sesetengah orang mengatakan semua manusia ada harga tersendiri. Ada price tag-nya. Berapa nilai kita ditentukan dengan berapa nilai duit yang datang pada kita. Contohnya, kalau saya bekerja dengan gaji RM2000 sebulan, berapa nilai hidup saya sebenarnya?

RM 2,000 dibahagikan dengan 30 hari untuk sebulan, bersamaan dengan RM66 sehari ‘plus minus’. Lebih kurang begitulah. Ada yang nilai hidupnya berjuta sehari & ada yang beberapa ringgit sahaja. Tapi itu jika dinilai dengan wang ringgit, saya tak kata salah kerana itulah ukurannya pada pandangan umum masa kini. Namun persolannya, adakah nilai hidup kita tetap atau pun boleh berubah-ubah? Apa nilai sebenar-benarnya? Sekurang-kurang berapa nilai yang kita letak untuk diri kita sendiri? Pada pandangan kita. At least..

Begini ceritanya..

Seorang anak muda yang kerjanya mengukir batu-batu untuk dijadikan perhiasan mula bosan dengan rutin sehari-harinya. Ia muak dengan hidupnya, kerana seolah-olah hidupnya tak ada harga. Hanya sekadar itu sahaja. Dia bekerja dari kecil lagi, dari menolong bapanya yang juga pengukir batu yang sarat dengan pengalaman. Tapi dia merasakan hidupnya tak ada harga. Useless. Satu hari dia bertanya pada sang ayah.

“Ayah, kita dah buat kerja ni bertahun lamanya, saya dah bosan”

Jawab ayahnya. “Lalu apa yang kau nak buat nak?

“Ayah tak rasa ke yang hidup kita ni tak ada nilai, orang tak pandang pun pada kita. Jerih payah kita”

Ayahnya berfikir sejenak sambil merenung ke dalam mata anaknya, lalu dia berkata pada anaknya. Dia mencari jalan & cara terbaik unutk mengajarkan anaknya tentang hidup. Setelah sekian lama, ia membuka mulut.

“Nak, esok pagi kau ke pasar & bawa batu yang kau ukir tu, kalau ada yang bertanya harganya, kau hanya perlu buat satu perkara sahaja”

Si anak tertanya-tanya. “Apa yang perlu saya lakukan”

Dengan tenang si ayah menjawab. ” Kau hanya perlu tunjukkan 2 jari sahaja, jari tengah & jari telunjuk”

Si anak termenung lalu bertanya lagi.“Apa maksud ayah?”

“Buat sahaja, nanti kau akan dapat jawapan apa yang kau tanya selama ini”. Jawab si ayah dengan tenang berserta senyuman.

Esoknya, hari pertama..

Keesokkan hari, si anak pergi ke pasar lalu meletakkan batu yang diukirnya. Setelah lama menunggu, akhirnya datang seorang perempuan separuh abad lalu di depannya. Dia berhenti & membelek-belek ukiran batu itu. Lalu ia bertanya berapa harga untuk dijual.

Si anak teringat pesan ayahnya. Lalu dia mengangkat 2 jarinya, lalu perempuan separuh abad itu berkata.

“Oh, 2 ringgit. Baiklah, saya beli.”

Selesai urusan menjual lalu si anak balik & terus menceritakan pada ayahnya. Batu itu dijual dengan harga 2 ringgit. Terus dia bertanya pada ayah, apa yang ayah maksudkan dengan peristiwa itu.

Ayahnya tersenyum lalu berkata. “Sabar, nanti kau akan tahu. Esok bawa lagi batu lain yang kau ukir, bawa kedai perhiasan. Buat perkara yang sama”. Si anak kebinggungan. Tapi tak pula membantah. 

Hari kedua.

Esoknya, dia ke kedai perhiasan & bila sampai ia pun meletakkan batunya di tepi kedai itu. Ramai yang lalu lalang & akhirnya datang seorang lelaki yang agak kemas pakaiannya. Lalu bertanya berapa harga ukiran batu itu. Seperti biasa ia mengangkat tangan dengan 2 jari dikeluarkan.

“Oh, 200 ringgit, saya beli. Saya mahu letakkan di taman bunga saya”

Si anak terperanjat & tersenyum. Selesai urusan dia terus balik & mendapatkan ayahnya. Dia bercerita dengan panjang lebar apa yang terjadi. Lalu bertanya. “Apa maksud ayah, apa makna semua itu?”

Ayahnya tersenyum lagi lalu berkata. “Sabar, nanti kau akan tahu juga. Esok bawa sekali lagi batu lain yang kau ukir, bawa pula kedai permata. Buat perkara yang sama”.

Hari ketiga.

Si anak melakukan perkara yang sama seperti dia lakukan sebelum ini. Cuma kali ini dia pergi ke dalam kedai permata & meletakkan di hadapan towkey kedai. Si towkey bertanya, apa yang si anak mahu. Si anak mendiamkan diri & hanya mengangkat isyarat 2 jari. Bermaksud 2. Si towkey bertanya lagi, siapa punya batu ukiran itu. Tapi si anak membisu & tetap dengan isyarat jarinya.

Si towkey meneliti lama batu itu. Setelah agak lama, dia berkata berapa harganya. Si anak menunjukkan isyarat yang sama lagi.

“Baik, saya beli dengan harga 2000 ringgit.”

Lalu dengan pantas si towkey mengeluarkan not-not wang kertas & menyerahkan pada si anak.

Si anak sekali lagi terperanjat beruk. Dia seperti tak  percaya. Dan dengan pantas dia balik & tak sabar ingin menceritakan apa yang berlaku. Sesampai di rumah, si ayah telah siap menunggu di ruang tamu. Dengan termengah-mengah gembira, dia menceritakan satu persatu.

Jawapan dari ayah.

Akhirnya dia berkata.”Baiklah ayah, setelah 3 hari yang saya lalui, apa maksud ayah sebenarnya?”

Si ayah tenang & tersenyum. Lalu dia membuka mulut.

“Anakku, itu nilai hidup yang kau cari & tanyakan selama ini. Diri kita berbeza nilainya jika berada di tempat yang berbeza.”

“Kau tanya apa nilai hidup kau, sekarang kau mengerti tentang nilainya berbeza atas di mana kau meletakkan dirimu. Jika kau bersama dengan orang yang rendah nilainya, mereka turut sama menilai kau sama seperti mereka. Tapi jika kau letakkan diri kau di kelompok atau tempat yang betul, maka berhargalah kau.”

Si ayah berhenti sambil memandang anaknya. Dia berkata lagi.

“Ayah sudah tua, sudah banyak yang ayah lalui. Sekarang masa untuk ayah berehat & menikmati hari-hari tua ayah. Kau masih muda & masih banyak yang belum kau pelajari. Hari ini kau telah melihat sendiri, bagaimana untuk kita menilaikan diri kita. Rendah atau tinggi harga kita, kita yang menentukan. Jika kau mahu dirimu berharga, letakkan dirimu di tempat yang betul.”

Si anak terdiam. Dia belajar sesuatu & akhirnya bertekad. Mana & apa yang dia lakukan selepas ini, semuanya bermain di dalma kepala. Dari merungut tak tentu pasal. Lebih baik bertindak & berusaha keras. Dia bangun & memeluk ayahnya. Akhirnya jawapan yang dicari sudah ditemuinya. Tentang nilai yang dia cari selama ini. Sekarang terpulang pada dirinya. Mahu berada di tempat yang mana.

Values-min

Mana kita?

Hidup ini kita yang menentukan sendiri siapa kita. Dimana & berapa harganya. Orang boleh menilai & melabel kita itu & itu. Tapi yang lebih memahami diri kita hanyalah diri sendiri. Jangan berhenti percaya walaupun sekarang kita rasa diri kita ‘useless’ atau tak berharga. Teruskan berusaha & percaya dengan kebolehan diri sendiri. Jika bukan kita siapa lagi. Manusia ada kekuatan tersendiri. Mungkin kita belum sedar akan kekuatan yang tersembunyi. Tapi itu tak bermakna kita tak ada kelebihan. Tugas kita terus gali & gali sehingga jumpa. Dan jangan sekali-kali berputus asa. Fighting!!!