Cerita Dari Benua Hitam Afrika

Tajuk buku ini sahaja sudah menambat hati saya. Seolah ada satu tarikan untuk memiliki & membacanya. Semalam, Ramadhan ke-29 saya akhirnya berjaya beli & habiskan membacanya. Orang lain sibuk beli kelengkapan raya, tapi saya sibuk ke kedai buku. Ada 2 buah buku yang saya sambar. Menumpang Teduh Pohon Akasia & Tun M:Inilah Perjuangan.

Somaliland bukan Somalia.

Buku ini berkisar tentang perjalanan Muhammad Suhail Ahmad bersama rakannya, Akhmal menjelajah ke bumi Somaliland. Walaupun pada awal perancangannya ia satu lawatan jemputan kenalan untuk membincangkan soal peluang perniagaan, namun berubah menjadi satu perjalanan santai menjelajah Somaliland.

Walaupun singkat tetapi pengalaman yang menarik untuk dikongsikan bersama. Saya sebelum ini tidak pernah mengetahui wujudnya negara Somaliland. Setahu saya hanya Somalia sahaja. Tetapi di dalam buku ini diceritakan dengan menarik sejarah bagaimana boleh wujudnya Somaliland. Sebuah negara yang masih tidak diiktiraf oleh masyarakat dunia hari ini.

Sebuah negara yang majoriti rakyatnya beragama islam, berfahaman sunni & mengikut mazhab imam Syafie. Pengembaraan Suhail membuka mata untuk melihat Somaliland dari sudut yang berbeza dengan apa yang digambarkan oleh barat. Bagaimana liciknya barat dalam memperlihatkan negara afrika ini dengan simbol keganasan & ketidakstabilan akibat peperangan. Ini memberi gambaran yang bertentangan dengan apa yang sebenarnya berlaku.

Jangan menilai dari luaran.

Pengajaran yang boleh kita ambil dari cerita Suhail ini ialah jangan mempercayai sesuatu tanpa melihat dengan mata kepala sendiri. Namun malangnya kita hari ini, kerana sumber maklumat yang datangnya dari pihak yang tidak bertanggungjawab mengaburi mata kita untuk melihat perkara yang sebenar. Kita hanya dapat menilai apa yang kita lihat & dengar. Sayang sekali kerana kita hanya dapat melihat permukaannya sahaja tanpa menyelami dasarnya untuk mengetahui apa yang ada di bawahnya. 

Hari ini  kita terpaksa menerima apa juga cerita oleh barat kepada kita. Sama ada kita mahu ataupun tidak, mereka yang menguasai media antarabangsa hari ini, jadi itulah kita nampak. Namun jika kita sudah biasa melihat sesuatu itu dengan sudut yang pelbagai, kita sedikit sebanyak boleh memahami bagaimana dunia hari ini bergerak. Bukan semua perkara di depan mata itu benar. Boleh jadi ada sesuatu disebaliknya.

Indahnya bumi tuhan.

Buku ini menarik untuk dibaca. Ringkas & santai. Namun penuh pengajaran yang boleh kita ambil bersama. Berjalan di bumi Tuhan menambahkan lagi pengetahuan & pengalaman kita. Membaca buku ini sahaja membuatkan saya terasa seperti ingin terus mengembara. Mengembara untuk melihat sendiri indahnya bumi ciptaan Tuhan..