Nak buat apa yang kita suka atau suka apa yang kita buat?

Saya percaya kita biasa dengar kata-kata ini bukan? Ini kata-kata biasa yang dilontarkan oleh orang yang telah berjaya bila ditanya apa resepi kejayaan mereka. Persoalannya mana satu yang betul? Sebenarnya tidak ada yang salah pun dengan kedua-duanya.

Buat apa yang kita suka.

Kebiasaanya kita akan melalui fasa-fasa sukar bila melakukan sesuatu perkara. Terutamanya bila melibatkan perkerjaan yang penting dalam hidup kita. Setiap ujian yang datang akan dapat diatasi jika kita melakukan sesuatu itu berdasarkan atas perkara yang kita suka.

Betapa sukar sekalipun halangan yang ada di depan kita, In Sya Allah pasti kita akan cuba mencari jalan penyelesaiannya. Dan kita akan merasakan ia perkara biasa. Berbeza jika kita melakukan sesuatu yang bukan atas dasar minat, setiap kali datang ujian pasti kita akan mudah berputus asa. Minat & perasaan teruja itu akan memberi kita idea & akal untuk mencari jalan bagaimana mengatasi setiap permasalahan.

Kadang-kala orang tertanya-tanya, bagaimana nak buat perkara yang kita suka sedangkan kita tak suka dengan kerja kita sekarang. Contohnya jika sekarang kita seorang bekerja makan gaji, saya percaya ramai yang bekerja dalam keadaan terpaksa. Terpaksa melakukan pekerjaan sekarang demi kelangsungan hidup. Ia normal sebenarnya, tapi jika kita berniat nak memulakan sesuatu berdasarkan passion kita secara drastik, ia boleh jadi amat berisiko. Jadi, apa tindakan yang harus kita lakukan?

  1. Belajar untuk suka pekerjaan kita sekarang.
  2. Ambil masa untuk merancang plan untuk kita lakukan apa yang kita minat.
  3. Buat sedikit research & atau cari mentor untuk menjayakan impian kita.
  4. Lakukan secara berperingkat & perlahan-lahan untuk laksanakan ‘passion’ kita.
  5. Lari pecut, kejar impian kita.

Belajar untuk suka pekerjaan kita sekarang.

Ia bukanlah satu perkara mudah. Tapi mahu ataupun tidak kita kena lakukannya juga. Tambahan jika kita sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang ingin kita lakukan dalam hidup ini. Jadi kita kena belajar untuk suka dengan apa yang ada pada kita sekarang. Mana tahu ia akan menjadi sesuatu yang bermakna dalam hidup kita.

Daripada membazir waktu mencari ‘passion’ yang tak berapa jelas, lebih baik tumpukan apa yang ada di depan mata. Sekurang-kurangnya kita sudah ada pengalaman & pengetahuan untuk kerja kita sekarang.

Ambil masa merancang masa depan sendiri.

Saya teringat kata-kata Jack Ma. Dia pernah berpesan kepada anak muda yang ingin mengejar impian tetapi tersangkut di alam pekerjaan. Untuk kita terus berhenti dari pekerjaan kita sekarang mungkin sesuatu yang agak sukar, tapi langkah terbaik ialah setiap hari selepas kerja atau sebelum tidur, cuba ambil masa untuk kita merancang ‘plan’ untuk kita mencapai impian kita.

Jika kita serius untuk mencapai impian, kita akan mendisplinkan diri menanam motivasi untuk meluangkan masa munasabah diri, menimba ilmu secara konsisten untuk diri kita. Ia penting sebagai langkah awal persediaan kita untuk mengejar impian.

Research, get ready & cari Mentor

Gagal merancang bermakna merancang untuk gagal. Ia sesuatu yang selalu kita dengari. Bagi mereka yang masih bekerja dengan orang, lakukan sebanyak mungkin kajian. Timbang baik buruk setiap keputusan yang ingin kita lakukan. Bila kita rasa yakin, ‘just do it’. Letakkan keyakinan pada diri kita berdasarkan apa yang kita kaji. Jangan terlalu menunggu keadaan sempurna baru nak mulakan.

Tak ada orang yang berjaya dalam hidup ini melakukan pekerjaannya dalam keadaan dulang emas. Semuanya tersedia. Malah ramai yang mula dari kosong. Dari tak ada apa-apa.  Jadi, buat sedikit kajian, bila sudah ada sedikit keyakinan, buat terus. Yang paling penting, yakin & berdoa serta letakkan tawakal kepada tuhan. Kalau tanya saya, saya akan buat sahaja apa yang saya minat, asalkan tak mati kebulur sudah.

Satu lagi perkara yang penting ialah mencari guru. Cuba berkawan dengan orang yang telah berjaya dalam bidang yang kita nak ceburi. Korek ilmu semaksima mungkin. Minta nasihat & pandangan bagaimana hendak mulakan. Cuma, pastikan mentor yang kita cari itu mentor yang betul. Jangan tersalah cari sudah, nanti awal-awal sudah gagal.

Perlahan-lahan kayuh.

Lakukan secara berperingkat. Kalau dapat lakukan secara sambilan semasa kita bekerja lagi bagus. Sekurang-kurangnya kita belajar sedikit demi sedikit selok belok apa yang kita mahu lakukan. Ambil pengalaman perlahan-lahan. Banyakkan bergaul dengan mentor kita & perhatikan cara kerjanya.

Buat catatan & banyakkan membaca. Jika ada masa terluang, cuba untuk hadiri seminar atau kelas berkaitan bidang yang ingin kita ceburi. Jika kita lakukan secara perlahan-lahan tetapi konsisten, ia sangat membantu moticasi kita serta membentuk momentum positif. Jika kita memaksa diri untuk meletakkan displin & sedikit tekanan yang positif, ia akan membentuk jati diri kita & memberi persediaan terbaik sebelum kita mula serius untuk berhenti kerja.

Go & run for it

Sekali kita mula, pastikan buat sampai habis. Beza antara orang gagal & berjaya hanya satu. Orang yang gagal hanya tahu untuk memulakan sesuatu tapi jarang untuk menghabiskannya. Bila datang sedikit tekanan atau masalah, semangat jadi lemah & mula berhenti di tengah jalan. Berbeza dengan orang yang berjaya, mereka akan lakukan sesuatu yang mereka mulakan dengan penuh minat, mereka akan pastikan walau bagaimanapun pasti kerja itu wajib dihabiskan. Mereka tahu yang proses untuk membina sesuatu itu bukan mudah, jika berhenti setengah jalan ia hanya membuang masa. Dari membuang masa untuk buat pula sesuatu yang lain, lebih baik letakkan sedikit lagi usaha untuk lakukan juga sampai habis. Alang-alang buat, biar sampai jadi.

Buat apa yang kita tak suka

Ramai orang percaya yang melakukan perkara yang dia suka sahaja akan membantunya mencapai keyayaan. Tapi berapa ramai yang terkandas di tengah jalan walaupun dia merasakan dia sudah lakukan berdasarkan ‘passion’ dia. Mereka lupa yang mereka juga wajib lakukan perkara yang dibenci untuk berjaya. Saya beri contoh seorang yang suka memasak, boleh jadi dia tak suka mengemas pinggan mangkuk selepas memasak. Atau seorang yang minat berniaga kedai makan kerana dia suka makan & berniaga, boleh jadi dia tak suka ‘accounting’. Disini kita boleh perhatikan, kenapa ramai yang terkandas di tengah jalan.

Mereka tak sanggup luangkan masa untuk lakukan perkara yang mereka tak suka tetapi mereka sedar bahawa perkara itu adalah penting. Ia perlu seiring. Saya ambil contoh saya sebagai usahawan, saya sedar yang saya sukakan perniagaan online kerana merasakan saya selesa tak perlu berjumpa dengan orang ramai, tapi saya juga sedar mahu tak mahu saya kena berjumpa dengan pelanggan atau bercakapnya untuk urusan perniagaan. Mahu tak mahu saya kena paksa diri untuk lakukan semua itu. Saya kena belajar macam mana nak urus akaun, kira stok & macam-macam lagi perkara yang saya benci sebelum ini.

Jadi disini, lakukan perkara yang kita suka semata-mata tak menjamin kejayaan. Kita harus terima hakikat untuk berjaya kita harus melakukan kedua-duanya.  Mahu ataupun tidak, itu memang sifirnya. Kesimpulannya, cari apa yang kita hendak capai dalam hidup, buat perancangan, get ready & lakukan sahaja. Gagal atau tidak itu nombor dua. Yang penting kita mulakan & cuba habiskan apa yang kita mulakan. Bersedia untuk belajar benda baru, terutama benda yang kita tak suka. Jika kita konsisten, In Sya Allah kejayaan di tangan kita.